Mstar: Tak mampu beli barang original, remaja cipta helmet superhero Star Wars guna kadbod je
Masyarakat kini lebih gemar menonton siri Star Wars yang menampilkan watak-watak menarik, malah kesan daripada minat mendalam itu membuatkan ada yang sanggup mencipta sut pakaian, kasut, dan helmet menggunakan pelbagai barangan termasuk bahan kitar semula.
Begitulah kisah Jaden Lim Jung Yang, peminat tegar Star Wars yang telah tampil dengan rekaan helmet dengan hanya menggunakan kadbod.
"Saya membeli peralatan seperti gam, gunting, pisau dan penyembur cat untuk membuat helmet watat kegemarannya Boba Fett memandangkan saya dan keluarga tidak mampu membeli helmet asal yang dijual kerana harganya mahal.
"Saya menggunakan imaginasi untuk menghasilkan sendiri helmet daripada watak kegemaran saya," katanya kepada mStar.
Koleksi ciptaan helmet Star Wars paling disayanginya adalah Boba Fett, namun begitu koleksi pertama ciptaannya adalah karakter Captain Rex.
Bercerita lanjut mengenai hobinya itu, Jaden memberitahu dia biasanya memulakan projek dengan membuat bingkai kadbod berbentuk topi keledar sebelum mencampurkan cecair pada kadbod itu agar bentuknya kekal dan tidak berubah.
Jaden juga kerap menggunakan beberapa pengisi kayu atau dempul (penutup lubang) untuk proses melicinkan, agar tekstur kadbod tidak jelas kelihatan.
"Langkah terakhir adalah melukis, namun begitu, ia bukanlah perkara mudah lebih-lebih lagi apabila mencipta karakter pilihan - memerlukan masa yang agak lama untuk mendapatkan hasil kerja yang diingini dan tepat," katanya.
Dalam pada itu, Jaden menganggap helmet kadbod ciptaannya itu mempunyai nilai sentimental kerana tidak ramai golongan khususnya remaja mengambil perhatian menghasilkan barang yang kreatif.
Hobi membuat helmet itu bermula sejak menonton Star Wars, daripada situ juga, Jaden dipengaruhi dengan siri itu sehingga timbul hasrat untuk mencipta topeng muka dengan kadbod.
"Mulanya ayah saya mengajak menonton siri Star Wars dan Marvel pada usia sekitar lima tahun, lama kelamaan saya begitu obses hingga membawa kepada penghasilan helmet karakter pilihan menggunakan kadbod.
"Apa yang menarik minat saya untuk jatuh cinta dengan Star Wars Universe ialah koreografi pertempuran lightsaber yang direka dengan baik, penggunaan laser, makhluk menarik dari planet yang berbeza dan kelainan kisahnya berlaku di dunia malah di alam semesta lain," jelasnya.
Jaden berkata, minatnya terhadap Star Wars The Book of Boba Fett yang sinonim dengan pengembaraan mendebarkan itu kerana tiga faktor iaitu daya tarikan helmet, warna kostum dan reka bentuk lebih menarik berbanding yang lain.
Apabila ditanya tentang siri Star Wars yang gemar di tonton, peminat tegar itu berkata, The Mandalorian paling disukai kerana hubungan rapat antara The Mandalorian dan Baby Yoda mengusik hati Jaden.
Walaupun tidak mudah, Jaden telah memiliki 11 koleksi helmet Star Wars ciptaan sendiri itu bercita-cita untuk menjadi seorang pereka produk di masa hadapan seperti Toy Car, pencipta helmet dan pakaian superhero.
Bagi Jaden, remaja seusia dengannya perlu memberi perhatian kepada hobi masing-masing kerana dari situlah mereka dapat mengembangkan minat itu hingga terhasilnya kejayaan.
Original article: https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2022/01/23/tak-mampu-beli-barang-original-remaja-cipta-helmet-superhero-star-wars-guna-kadbod-je